rahsia bawang

APAPUN masakan kalau anda tak letak bawang putih, selalunya tak sedap. Betul? Anda yang memasak mesti selalu menggunakan bahan ini dalam masakan-masakan anda. Jadi, elok rasanya saya kongsikan rahsia-rahsia di sebalik pemakanan bawang putih ni. Banyak sebenarnya khasiatnya.
1. Mengurangkan risiko strok.
Bawang putih akan merangsang penghasilan nitric oxide pada dinding saluran darah. Ini akan membantu saluran darah untuk mengembang dan seterusnya mengawal tekanan darah dengan baik bagi mengelakkan risiko darah tinggi dan strok.
2. Mengurangkan risiko kanser.
Bawang putih kaya dengan bahan antioksidan seperti selenium yang membantu mengurangkan free radical di dalam darah. Ini akan mengurangkan risiko seseorang mendapat kanser.
3. Anti bakteria dan antivirus.
Sejenis bahan Allicin yang terkandung di dalam bawang putih ini bertindak sebagai antivirus dan antibakteria dalam memusnahkan beberapa mikrob. Jadi, ianya amat baik untuk jangkitan perut, jangkitan influenza dan sebagainya.
4. Antiinflamasi.
Kajian juga menunjukkan bawang putih mempunyai bahan antiinflamasi yang dapat membantu mengurangkan penyakit asma, mengurangkan inflamasi pada arhritis pada sendi seperti rheumatoid atau pun osteoarthritis.
5. Mengandungi banyak iodin.
Kandungan iodin yang tinggi di dalam bawang putih amat baik untuk pesakit yang menghidap hypertiroid.
6. Membantu sistem pencernaan.
Bawang putih akan merembeskan gastric acid pada lapisan perut yang akan membantu proses pencernaan di dalam saluran makanan.
7. Meningkatkan sistem imunisasi.
Ya, terdapat kajian yang mendapati bahawa pengambilan bawang putih sebanyak 2 hingga 3 biji sehari selama tiga minggu akan meningkatkan aktiviti sel darah putih untuk melawan jangkitan dan tumor.
8. Mengurangkan kolesterol dalam tubuh.
Kandungan Di-sulphide di dalam bawang putih membantu menurunkan nilai kolesterol di dalam saluran darah dan seterusnya mengurangkan risiko penyakit jantung.
JADI pembaca semua, mari kita gunakan segala khasiat dan kelebihan yang ada pada bawang putih ini. Ramai yang masih tak sedar akan kelebihannya selama ini. Semoga anda semua mendapat manfaat.

6 jenis wanita

6 Jenis Wanita Tak Layak Jadi Isteri

September 25, 2012
1. Al-Anaanah
Terlalu banyak keluh-kesah kerana merasakan segala pemberian suami dalam kehidupan bersama sentiasa tidak mencukupi. Malah, perbuatan ini juga seolah-olah menunjukkan perasaan tidak redha dengan usaha dan pemberian yang diberikan. Terlalu inginkan suami memenuhi kehendak dan nafsu sendiri tanpa melihat dan menjaga perasaan suami. Perbuatan ini mampu mewujudkan perasaan tidak hormatkan suami apatah lagi berterima kasih.
2. Al-Manaanah
Wanita yang suka mengungkit dalam satu-satu perkara. Sekiranya tidak menyukai dengan pengorbanan atau kerja yang dilakukan oleh suami, setiap perkara itu akan diungkit kerana berasa tidak senang. Mudah untuk mengeluarkan kata-kata seperti suami tidak sayangkan dirinya, tidak bertanggungjawab, tidak mengenang budi dan pelbagai lagi.
3. Al-Hunaanah
Wanita yang mempunyai perasaan menginginkan atau berkenan kepada lelaki lain. Juga suka membandingkan suami dengan lelaki lain dalam kehidupan mereka.
4. Al-Hudaaqoh
Wanita yang suka memaksa suami sekiranya inginkan sesuatu atau dalam menyuruh melakukan sesuatu kerja. Sentiasa menekan suami tidak kira masa kerana mahukan nafsunya dipenuhi dan suami diperlakukan seperti orang suruhan. Jika tidak ditunaikan, akan memberikan ugutan seperti ingin lari dari rumah, mahu bunuh diri atau mencemarkan maruah suami sendiri.
5. Al-Hulaaqoh
Wanita yang sibuk menghabiskan masanya dengan perkara yang tidak berfaedah seperti suka bersolek, tidur, dan sebagainya hingga mengabaikan urusan rumah tangga. Malah, langsung tidak melakukan perkara-perkara yang sunat seperti zikir atau pun menjaga anak-anak.
6. As-Salaaqoh
Wanita yang gemar berbicara dan bergosip mengenai suami. Sentiasa memburukkan perihal diri suami di mata orang lain.
“Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji. Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik.” – An-Nur; 26.
Oleh: NAIMAH SHAARI

Sepakat dengan suami perkara yang boleh dan yang tidak boleh dilakukan

 
Sesuatu yang perlu anda tahu ialah perkara yang dimarahi suami mestilah sama dengan perkara yang anda marahi. Sekalipun tidak sama, jangan sekali-kali anda membela anak di hadapan suami anda. Hal ini akan menyebabkan anak anda bingung. Sekiranya didapati suami melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya, tunggulah pada masa lain untuk berbincang dengannya.
Jangan biar anak rasa terbela ketika membuat kesalahan. Sekiranya anda mengikuti asas ini, maka anda akan mendapati anak tidak akan melawan dan patuh. Saat itu, barulah kita boleh memujuk anak semula dan jelaskan bahawa perkara yang dilakukannya tadi adalah tidak boleh.
Sekiranya boleh, jangan sampai kedua-duanya suka berleter atau kedua-duanya suka marah-marah. Pernah terlihat keluarga yang ayahnya kurang memarahi anak tetapi sekiranya ayah itu meninggikan suara sedikit, anak akan terus ketakutan? Adakalanya juga dengan hanya menyebut nama penuh anak akan menyebabkan anak-anak cukup faham bahawa anda betul-betul sedang marahkan mereka. Justeru, paling penting adalah dengan menyemai rasa hormat anak kepada kita sebagai ibu bapa.
Menerapkan disiplin
Jika diperhatikan, banyak bahagian dalam buku ini adalah secara berjadual. Mengapa teknik ini digunakan? Teknik ini telah banyak menunjukkan testimonial yang sangat berjaya, iaitu di akhirnya, perkara yang terjadual menjadi kebiasaan dalam kehidupan. Bukankah ini lebih baik daripada hidup tidak berdisiplin?
Anda perlu bersikap tegas terhadap anak-anak anda tetapi janganlah sehingga tiada lemah lembut langsung. Mereka ibarat tanah. Sekiranya tanah itu kasar, siramkanlah dahulu air untuk melembutkannya sedikit sebelum dicangkul. Sejak kecil lagi mereka perlu diberikan pengenalan atas perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh mereka.
Hindari memukul anak sekiranya sedang marah
Ketika anda terasa sangat marah, cubalah kawal diri daripada memukul anak. Hal ini akan menyebabkan pukulan anda terlalu kuat dan hal ini akan membekaskan sesuatu dalam jiwa mereka. Kudrat semasa sedang marah sangat kuat dan akan menyebabkan anda akan terasa berkuasa memukul anak anda.
Kadangkala kita mempunyai masalah lain tetapi pada masa yang sama, anak kita melakukan perkara yang tidak kita sukai. Justeru, kemarahan kita tertumpah kepada si anak. Cubalah bertenang dan tarik nafas perlahan. Fikirkan semula adakah berbaloi sekiranya anda memukul anak yang melakukan kesalahan ketika anda sedang marah?
Ugutan dan herdikan
Sekadar mengugut tidak mendidik anak kerana selalunya kita tidak akan melakukan perkara yang kita ugutkan itu. Anak-anak akan menjadi lali kerana ibu bapa hanya tahu mengugut. Kemungkinan anak menjadi kurang rasa hormat kepada kita akibat daripada perbuatan tersebut.
Herdikan juga menimbulkan kesan yang tidak baik. Kebanyakan masa kita mengherdik, kita akan menggunakan ayat yang tidak sepatutnya. Kata-kata kita ialah doa. Bayangkan kita tega untuk mendoakan yang buruk-buruk kepada anak-anak kita dan kemudian memarahinya lagi.
Bayangkan kita menggunakan kata seperti, "Budak bangang!!" Sanggupkah kita mendoakan anak dengan perkataan kesat seperti ini? Sekalipun kesabaran kita memang benar-benar sedang diuji, mengapa tidak kita memilih untuk menggunakan cara yang berhikmah berbanding dengan kaedah seperti ini yang jelas tidak pernah ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w?
Kaedah Rasulullah s.a.w dan sahabat mendidik anak
Bak kata pepatah English, ‘Spare the rod, spoil the child’. Menunjukkan tidak lengkap rumah itu tanpa ada rotan di dalamnya. Mari kita perhatikan daripada aspek pendidikan Rasulullah s.a.w terhadap anak-anak kecil.
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun dan pukul mereka sekiranya tidak bersembahyang pada usia 10 tahun dan pisahkan antara mereka tempat tidur."
(Riwayat Al-Hakim dan Abu Daud)
Berdasarkan daripada hadis ini, maka kita sepatutnya membiasakan anak-anak dengan amal ibadat wajib sedari kecil lagi. Hal ini adalah wajar bagi menanamkan rasa cinta akan Allah, mensyukuri nikmat-Nya, menyucikan jiwa anak, kesihatan fizikal dan akhlak, iaitu perbuatan dan perkataannya.
Saidina Ali juga berpesan supaya kita mendidik anak mengikut tahap kecerdikannya. Pesannya:
Pada tujuh tahun yang pertama, bermain dengan anak kamu, didik anak kamu pada tujuh tahun berikutnya serta berkawan dengannya pada tujuh tahun selepas itu.
Hal ini bermakna kita hendaklah bermesra, bermain dan bergurau dengan anak yang berusia di bawah tujuh tahun. Selepas usianya tujuh tahun, kita wajar mendidik dan mendisiplinkan mereka serta diajarkan cara beribadah secara betul. Ketika ini juga hendaklah diajarkan menghormati hak orang lain dan menunaikan suruhan orang yang lebih tua.
Selepas usianya 14 tahun, kita perlu menjadi kawan mereka supaya mereka dapat merujuk masalah dan mengadu kepada kita jika berhadapan dengan masalah. Kebiasaannya pada usia ini, mereka akan mencari kawan lain sekiranya kita tidak menjadi kawan kepada mereka. Sekali mereka mencari kawan di luar, agak susah untuk kita menasihati mereka.
Dalam hadis di atas juga ada menyatakan bahawa jika keadaan memerlukan, kita dibenarkan merotan anak selepas dia berumur 10 tahun. Jadi, setiap kali terlintas untuk merotan, niatkanlah aku tidak akan merotan anak ini sehingga umurnya 10 tahun kerana mengikut perkara yang Rasulullah s.a.w katakan. Maka besarlah pahala kerana perlakuan ini.
Pakar psikologi menyatakan bahawa anak yang berumur 10 tahun ke atas sudah boleh memahami kesan hukuman yang dikenakan dan sebab perbuatan itu tidak dibenarkan. Hal ini bermakna jika kita memukul anak yang lebih kecil dari usia itu adalah hampir tiada gunanya atau akan mendatangkan kesan yang lebih buruk pula. Bukankah itu akan merugikan?
Semasa merotan, beritahu dahulu kesalahan yang telah dilakukan sehingga dia dihukum. Seeloknya, jangan merotan anak di hadapan orang lain. Hal ini akan menyebabkan anak berasa kecewa dan rendah diri. Sebelum merotan juga, pastikan anda pernah memberikan amaran awal bahawa sekiranya sesuatu yang anda suruh tidak dilakukan, kesannya dia akan dirotan.
Anda juga diingatkan agar jangan merotan untuk menyakiti tetapi merotan dengan tujuan memberikan pengajaran. Kawasan yang dirotan juga perlu dijaga dan jangan sewenangnya merotan anak di bahagian muka. Rotanlah di bahagian punggung kerana di situ tidaklah menyakitkan. Satu hayunan sahaja memadai untuk tujuan mendidik.
Walau bagaimanapun, jadikanlah merotan sebagai jalan terakhir. Hai ini kerana kebanyakan sunnah Rasulullah s.a.w adalah untuk mendidik anak-anak dengan kasih sayang bukan dengan pukulan. Cubalah menjadi waras sekalipun kita dalam keadaan marah yang amat sangat. Sekiranya kita telah memberikan pendidikan yang sewajarnya, pastinya rotan tidak diperlukan lagi.
Artikel di atas dipetik daripada Bab 5: Suri Rumah Si Ibu dalam buku Manual Kerja Super Isteri. Maklumat lanjut berkenaan buku ini boleh didapati di www.books.perintis.com.my atau sila hubungi Cik Nor di talian 03-90195303.

5 fakta mengkagumkan tentang azan

 
selatanonline
Azan adalah media luar biasa untuk mengumandangkan tauhid terhadap Allah Yang Maha Kuasa dan risalah (kenabian) Nabi Muhammad SAW. Azan juga merupakan panggilan solat kepada umat Islam, yang terus bergema di seluruh dunia lima kali setiap hari.

Betapa mengagumkan suara azan itu, dan bagi umat Islam di seluruh dunia, azan merupakan sebuah fakta yang telah kukuh.

1 . Kalimat Penyeru Yang Mengandungi “Kekuatan Supranatural”Ketika azan berkumandang, kaum yang bukan sekadar beragama Islam, tetapi juga beriman, bergegas meninggalkan seluruh aktiviti duniawi dan bersegera menuju masjid untuk menunaikan solat berjamaah.

Simpulan kesedaran psiko-religius dalam otak mereka mendadak bergetar hebat, berhubung secara bersama dan dengan sepenuh kesedaran seorang hamba (abdi) mereka bersimpuh, penuh kesyahduan ibadah solat berjamaah.

2. Asal Mula Yang Menakjubkan:
Pada zaman dulu, Rasulullah Saw. kebingungan untuk memberitahu masa waktu solat telah tiba kepada seluruh umatnya. Maka dicarilah berbagai cara.

Ada yang mencadangkan untuk mengibarkan bendera apabila waktu solat itu tiba, ada yang cadang untuk menyalakan api di atas bukit, meniup terompet, dan malah membunyikan lonceng. Tetapi semuanya dianggap kurang sesuai dan kurang elok.

Adalah Abdullah bin Zaid yang bermimpi bertemu dengan seseorang yang memberitahunya untuk mengumandangkan azan dengan menyerukan lafaz-lafaz azan yang sudah kita ketahui sekarang. Mimpi itu disampaikan Abdullah bin Zaid kepada Rasulullah Saw.

Umar bin Khathab yang sedang berada di rumah mendengar suara itu. Ia terus keluar sambil menarik jubahnya dan berkata: ”Demi Tuhan yang mengutusmu dengan hak, ya Rasulullah, aku benar-benar melihat seperti yang ia lihat (di dalam mimpi). Lalu Rasulullah bersabda: ”Segala puji bagimu.”

Kemudian Rasulullah menyetujuinya untuk menggunakan lafaz-lafaz azan itu untuk menyerukan panggilan solat.

3. Azan Sentiasa Ada Semasa Peristiwa-Peristiwa Penting:
Azan digunakan Islam untuk memanggil umat untuk melaksanakan solat. Selain itu azan juga dikumandangkan di waktu penting. Ketika lahirnya seorang bayi, ketika peristiwa besar .

Peristiwa besar yang dimaksud adalah

- Fathu Makah : Pembebasan Mekah merupakan peristiwa yang terjadi pada tahun 630 tepatnya pada 10 Ramadan 8 H, di mana Nabi Muhammad beserta 10.000 pasukan bergerak dari Madinah menuju Mekah, dan kemudian menguasai Mekah secara keseluruhan, sekaligus menghancurkan berhala yang ditempatkan di dalam dan sekitar Ka’bah. Lalu Bilal mengumandangkan azan di atas Ka’bah

- Pengusaan Konstatinopel : Konstantinopel jatuh ke tangan pasukan Ottoman, mengakhiri Kerajaan Romawi Timur lalu beberapa perajurit Ottoman masuk kedalam Ramapsan terbesar Mereka Sofia lalu mengumandangkan azan di sana sebagai tanda kemenangan Islam..

4. Adzan Sudah Milion kali Dikumandangkan: Sejak pertama dikumandangkan sehingga kini mungkin sudah sekitar 1500 tahunan lebih azan dikumandangkan. Anggaplah setahun 356 hari . bererti 1500 tahun X 356 hari= 534000 dan kalikan kembali dengan jumlah umat Islam yang terus bertambah tiap tahunnya. Kita anggap umat Islam pada masa ini kira-kira 2 milion orang dengan nisbah 2 milon umat dengan 2 juta muadzin.

Hasilnya = 534.000 x 2.000.000 = 1.068.000.000.000 dikalikan 5 = 5.340.000.000.000

5. Adzan Ternyata Tidak Pernah Berhenti Berkumandang
Setiap kali fajar menyingsing di sebelah timur Sulawesi, kira-kira jam 5:30 waktu tempatan, maka azan subuh mulai dikumandangkan. Ribuan muadzin di kawasan timur Indonesia mulai mengumandangkan tauhid kepada Allah Yang Maha Kuasa, dan risalah Nabi Muhammad SAW.

Proses itu terus berlangsung dan bergerak ke arah barat kepulauan Indonesia. Perbezaan waktu antara timur dan barat pulau-pulau di Indonesia adalah satu jam. Oleh kerana itu, satu jam setelah azan selesai di Sulawesi, maka azan segera bergema di Jakarta, diikuti pula Sumatera.

Azan belum berakhir di Indonesia, maka ia sudah dimulai di Malaysia. Burma adalah di baris seterusnyanya, dan dalam waktu beberapa jam dari Jakarta, maka azan mencapai Dacca, ibukota Bangladesh. Dan begitu azan berakhir di Bangladesh, maka ia ia telah dikumandangkan di barat India, dari Kalkuta ke Srinagar. Kemudian terus menuju Bombay dan seluruh kawasan India.

Srinagar dan Sialkot (sebuah kota di Pakistan utara) memiliki waktu azan yang sama. Perbezaan waktu antara Sialkot, Kota, Karachi dan Gowadar (kota di Baluchistan, satu bahagian di Pakistan) adalah empat puluh minit, dan dalam waktu ini, (Dawn) azan Fajar telah terdengar di Pakistan.

Sebelum berakhir di sana, ia telah dimulai di Afghanistan dan Muscat. Perbezaan waktu antara Muscat dan Baghdad adalah satu jam. Azan kembali terdengar selama satu jam di wilayah Hijaz al-Muqaddas (Mekah dan Madinah), Yaman, Emeriah Arab Bersatu, Kuwait dan Iraq.

Perbezaan waktu antara Bagdad dan Iskandariyah di Mesir adalah satu jam. Azan terus bergema di Syria, Mesir, Somalia dan Sudan sepanjang jam tersebut. Iskandariyah dan Istanbul terletak di garisan bujur geografi yang sama. Perbezaan waktu antara timur dan barat Turki adalah satu setengah jam, dan pada masa ini seruan solat dikumandangkan.

Iskandariyah dan Tripoli (ibukota Libya) terletak di lokasi waktu yang sama. Proses panggilan Azan sehingga terus berlangsung melalui seluruh kawasan Afrika. Oleh kerana itu, kumandang keesaan Allah dan kenabian Nabi Muhammad saw yang dimulai dari bahagian timur pulau Indonesia itu tiba di pantai timur Lautan Atlantik dalam masa sembilan setengah jam.

Sebelum Azan mencapai pantai Atlantik, kumandang azan Zohur telah dimulai di kawasan timur Indonesia, dan sebelum berkumandang di Dacca, azan Asar telah dimulai. Dan begitu azan dikumandang di Jakarta setelah kira-kira satu setengah jam kemudian, maka waktu Maghrib menyusul.

Tidak lama setelah waktu Maghrib dikumandang di Sumatera, maka waktu azan Isya' telah dimulai di Sulawesi.Bila muadzin di Indonesia mengumandangkan azan subuh, maka muadzin di Afrika mengumandangkan azan untuk Isya'. (eramuslim)-Tulahan
Posted by tok_aji

memikat mertua


Tahukah anda… untuk berjaya dalam CINTA, anda juga perlu memikat kedua ibu dan bapa pasangan anda? Sesungguhnya Mertua atau Bakal Mertua ni SANGAT PENTING peranannya. Ia boleh membawa kesan yang berpanjangan di dalam perhubungan anda.
In fact, jika hancur perhubungan baik antara anda dan mertua, alamatnya… bergoncanglah perhubungan anda bersama pasangan yang dicintai. Anda tidak mahu itu berlaku, kan?
  • Jadi, sekiranya jadi lah perkahwinan anda berdua, anda tidak mahu sesekali ada sebarang perselisihan faham atau tidak disukai oleh mertua,… perriiiitttt beb! :)
Hehe… menjadi Menantu yang disayangi itulah yang patut kita FOKUS, atau yang perlu kita AIM untuk masa depan yang membahagiakan.
  • " Jika kecantikan/ketampanan memang bakal mertua tidak peduli, jika kelayakan kita pun tidak dihiraukannya dan berbagai-bagai lagi yang tidak disukainya, apa lagi yang perlu saya buat??”
JANGAN putus asa. Ada banyak lagi perkara-perkara yang boleh dilakukan untuk memikat bakal mertua, antaranya :-
1. ANDA BUKAN PERAMPAS – First sekali kita kena faham satu perkara, apabila kita mengahwini anaknya, makna situasi itu bagi seorang ibu atau bapa adalah mereka merasakan bahwa anda telah merampas anaknya dari mereka. Jadi, anda HARUS buat dia sedar yang anda bukan perampas. Buatkan dia merasa selesa dan tidak rasa kehilangan anaknya itu. Berjanji untuk selalu melawat dia pada hujung minggu atau bermalam di rumah mertua sekali atau 2 kali sebulan.

2. LUANGKAN MASA BERSAMANYA –
Penting ni, sewaktu bercinta jangan asyik bersama pasangan anda sahaja, kenalah fikirkan ibu dan bapanya sedari awal. Barulah bila sampai waktunya anda dengan mudah diterima dan disukai! Jadi, luangkan sedikit masa untuk bersama ibu atau bapa pasangan anda. Mungkin cuba membantu memasak bersama. Atau melakukan kerja rumah bersama. Lakukan perkara rutin yang sering dilakukan oleh kedua ibu bapa, agar mereka merasa anda boleh menjadi temannya.
3. MENGALAH TIDAK SEMESTI KALAH – Dengan mertua ni kena selalu mengalah. Jika mereka berleter sepanjang waktu, JANGAN melawan. Diam saja, dan buat tak tahu. Tapi jangan pula tidak menghormatinya. Buat-buat la macam dengar… angguk-angguk kepala tu kan hehehe… Biarlah dia nak berleter, kita bukan tak tahu kita dah tahu semuanya tetapi kita juga punya pendirian sendiri. NAMUN, tidak ada gunanya nak bertekak atau nak explain pada mereka, kerana mereka pun tidak mahu mendengar pendapat kita. Itu biasalah orang tua ni… yang penting, anda tunjukkan yang anda boleh berjaya dengan cara anda, nanti lama-kelamaan mereka akan terima juga.
4.JANGAN LUPA DIA – Ramai sangat orang yang lupa… bila bercinta, lupakan ibu dan bapa pasangan. Ada pula siap bergaduh dan sms marah-marah bakal mak mertua lagi. Macamana nak bahagia hidup? Sure you dan pasangan pun akan bergaduh punya. – Dari hari ini, jangan lupa hari jadi ibu dan bapa pasangan anda. Jangan lupa bertanya kesihatannya, makan minumnya, keinginannya. Selalu-selalu tanya khabar beritanya. Jangan asyik contact kekasih je, mak kekasih tu, hantar-hantarlah sms sekali dua. Tapi jangan tersilap hantar pulak hahaha… Kut terhantar ayat-ayat cinta leleh kat mak ke bapak dia ke …hahaha adoi!
5. BUAT DIA RASA DIINGINI – Especially apabila membuat keputusan, walaupun perkara yang hendak dibuat itu kecil sahaja, namun, tanya-tanyalah pendapatnya, agar dia rasa dirinya masih diperlukan. Apatah lagi jika urusan besar. Jangan tinggalkan dia di belakang… kecil hatinya nanti. Itu mertua yang baik, merajuk dan senyap sendiri, buatnya dapat yang ganas sikit… you tinggal dia belakang, dia suruh anak dia tinggalkan you, amacam? Heeee… :)
PADA ASASNYA… GEMBIRAKAN HATI MEREKA!
Sebenarnya banyak lagi cara untuk anda memikat hati mertua. Ada berbagai-bagai cara lagi… beli hadiah, beli saham, beri duit bulanan, hadiahkan sebidang tanah, bantu kerjanya, senangkan projeknya, bantu adik-adik juga boleh gembirakan mertua. Tidak ada in laws yang tidak akan terima jika menantu atau bakal menantu nak belanja. Suka lagi ada!
Jadi, belanja laaa… Tapi kita… malas nak fikir perkara sebegini. Biarlah…. Habis duit lah… sedangkan kita nak ambik anak dia. – Belanjalah apa salahnya, belanja makan kat restoran mewah sikit ke sekali sekala. Atau belanja dia pergi SPA ke, manja-manjakan diri. Beli tiket pergi holiday untuk ibu dan bapa …honeymoon tua-tua hehehe… Nothing left behind already kan, itu sajalah yang tinggal yang dia pasti akan menyukainya. So why not! Dia happy… anak dia pun happy… semua happy tenang dan pastinya anda akan dihormati dan disayangi.
Basically, jadilah orang yang menyenangkan kehidupan. Jangan jadi orang yang mengeruhkan keadaan. Dunia ini, bukan untuk anda berdua sahaja… ingatlah apabila anda berkahwin, anda bukan berkahwin dengan dia sahaja tetapi seluruh kaum keluarganya.
  • Jangan sesekali berpendirian, “Aku kahwin dengan dia, bukan dengan mak dia, bapa dia ke!” – Ini cara orang sombong dan bongkak… saya pun pernah jumpa orang macam ni…memang hidup tak ada ketenangan.
Jika begitu jawab anda, maka tidak lamalah perhubungan anda itu. Jika kahwin pun anda akan dibenci oleh seluruh kaum keluarga malah, mertua anda pula suruh pasangan anda cari yang lain.
Dalam hidup ini, kita perlukan sebanyak mana bantuan yang kita boleh perolehi. Jadi, buat baiklah dengan mertua dan keluarga kekasih anda… kerana merekalah yang akan membantu perkahwinan kita besok dan memberi sepenuh sokongan agar perkahwinan kita terus kekal bahagia.
Jangan besok dah kahwin, semua orang benci pada anda…masa tu nak minta tolong pun, dah tak boleh dah hehe…. Selamat mencuba!

kahwin?

Pernah tak dalam hidup kalian , berfikir tentang 'Cinta'? Rasanya seperti mustahil jika ada antara kalian terutama mereka yang sedang berada dalam zaman keremajaan menjawab 'Tidak Pernah' berfikir tentang soal kahwin ini.
Lebih-lebih lagi kita sekarang ini berada di dalam dunia yang penuh dengan arus kemodenan dan selalu disogokkan dengan adegan-adegan yang mendorong kita untuk turut menceburkan diri dalam arus percintaan, kisah-kisah cinta yang dikatakan sejati dan kekal abadi ini bukan sahaja dipaparkan di dalam televisyen semata mata malah turut dihidangkan di dalam media cetak yang menerbitkan berpuluh-puluh karya ber 'genre' percintaan setiap bulan.
Lalu tidak hairanlah sekiranya anak-anak remaja masa kini lebih menyayangi kekasih masing-masing berbanding keluarga. Maka kedengaranlah berita-berita yang menyedihkan membabitkan anak gadis lari bersama kekasih ke Lombok, ke negeri lain dan sebagainya. Astagfirullahalazim..
Saya bukan sesiapa, saya seorang gadis biasa, yang cuba untuk berjalan di bumi Allah dalam langkah yang padu agar dapat menuju kasih-Nya yang abadi. Saya sama seperti kebanyakan anda semua yang masih belajar dan belajar nilai kehidupan dan cuba belajar untuk menjadi matang. Mungkin ramai antara saudara dan saudari yang sama macam saya, masih menunggu dan khuatir tentang cinta dan jodoh. Dengan siapa aku akan berkahwin? Ada ke lelaki yang benar-benar mencintai aku? Kalau tak jumpa jodoh lepas umur 30 tahun macam mana? Risaunya...
Mungkin itu adalah antara contoh soalan yang kerap berlegar-legar di dalam minda anda yang masih belum jelas tentang jodoh. Bagi yang sudah berumah tangga, alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T yang telah menemukan cinta dan kasih sayang kepada kalian. Semoga rumah tangga anda semua dilimpahi rahmat dan kasih-Nya. Selain itu mungkin ada juga antara gadis-gadis diluar sana yang kerap bertanya sendiri sebegini:
Gadis 'Pemalu' A: Macam mana ye? Ada ker orang yang akan suka kat aku? Ramai yang datang sebelum ni. Tapi aku dah tolak, sekarang aku dah takda siapapun.
Gadis Pasrah B: Ayah aku dah sibuk bertanya, dah ada calon ke belum? Haih.. macam mana aku nak jawab ni? Hm, terima sahajalah sesiapa pun.
Gadis Teringin C: 'Jealous'lah tengok orang yang ber couple. Balik ada orang hantar, buat 'assignmen't pon sama-sama. Tapi aku?
Gadis Rela D: Aku tak kisahlah boyfriend yang macam mana pun. Yang penting ada orang sayang aku. Aku terima jer dia macam mana sekali pun.
Gadis Terlebih concern E: Aku tak nak makanlah. Nak diet.. mungkin sebab aku gemuklah tak ada orang yang suka kat aku.
Malah ada juga yang mungkin berfikiran:
"Aku tak nak kahwinlah.. mak cik aku okey jer tak kahwin." Nauzubillah...
Apa pendapat anda semua? Saya pasti ada antara kita pernah berfikiran begini. Malah mungkin ramai yang terfikir tentang hal ini walaupun masih di tahun satu atau tahun kedua di IPTA atau IPTS.
Malang nya kita jika menganggap jodoh dan cinta itu hanya urusan antara kita dan hati kita sahaja. Kita mudah terlupa dalam hati itu masih ada pemilik hati yang Maha Hebat ialah Allah SWT dan kita juga terlupa dalam cinta itu masih ada pemilik cinta yang Maha Agung iaitu Allah SWT.
Oleh itu sentiasalah berdoa kepada Allah tanpa jemu dan putus asa. Jika anda rasa sangat sukar untuk menemui jodoh yang anda inginkan mintalah kepada Allah kerana seorang hamba Allah tidak akan mudah berputus asa kecuali orang-orang yang tidak beriman. Berusaha dalam mencari jodoh tidak bermakna menulis surat-surat cinta palsu atau bergaul bebas antara lelaki dan perempuan . Seandainya sebelum ini kita pernah melakukan dosa dengan berdua-duaan dengan pasangan kita, pastikah kita, bahawa kita akan hidup sampai ke tua dan mampu bertaubat dan menginsafi segala dosa-dosa kita dengan pasangan yang tidak halal bagi kita?
Pembaca-pembaca sekelian, soal hati dan jodoh bukanlah benda yang senang. Bukan hak kita menentukan siapa jodoh kita sehingga rela mengambil jalan singkat menerima kehadiran mana-mana sahaja kaum adam atau kaum hawa tanpa menilai agama dan budi pekerti terlebih dahulu. Jangan biarkan sehingga nasi menjadi bubur. Lihatlah, berapa ramai yang berkahwin semata-mata kerana nafsu dan akhirnya tersungkur sebelum sampai kepintu syurga? Inginkah kita menjadi pasangan yang bercerai berai dan bergaduhan selepas beberapa lama berkahwin? Yakinlah, kebahagian dan ketenangan dalam kehidupan ialah apabila mengingati Allah dan mendapat keredhaannya.
Ketahuilah dan yakinlah bahawa perempuan yang baik akan bersama dengan lelaki yang juga baik begitu juga sebaliknya.
Terdapat empat perkara yang memberikan kebahagian kepada manusia berdasarkan hadis sahih riwayat Ibnu Hibban-:
1. Isteri yang solehah
2. Rumah yang selesa
3. Kenderaan yang baik
4. Jiran tetangga yang baik.
Jika dilihat, salah satu kebahagian manusia ialah Isteri yang solehah. Fikirkanlah betapa beruntungnya wanita-wanita diluar sana kerana telah dilahirkan sebagai wanita dan menjadi salah satu punca kebahagian manusia.
Akhir kata, selamat bermujahadah dalam kehidupan..insyaAllah jodoh pasti tiba di muka pintu dengan bantuan Allah. Jagalah dirimu laksana hadiah.. masih dilitupi pembalut akhlak dan iman, bukan laksana bunga yang layu menyembah bumi. Wallahualam.
Sumber imej : Google Image
- Artikel iluvislam.com

puasa 6

 
عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ حَدَّثَهُ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى الله قَالَ : ” مَنْ صَامَ رَمَضَانَ وَأَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوّالٍ . كَانَ كَصِيَامِ الدّهْرِ
Abu Ayyub al-Ansari r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian mengikutinya dengan enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa selama setahun [Sahih Muslim : 1991]
Dalil di atas terang bagaikan mentari menunjukkan kepada kita bahawa merupakan satu sunnah untuk umat Islam melaksanakan puasa sunat selama enam hari dalam bulan Syawal.
Terdapat banyak faedah melakukan puasa enam di bulan Syawal. Al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyenaraikan beberapa faedah tersebut:
1) Mendapat pahala puasa setahun
أن صيام ستة أيام من شوال بعد رمضان يستكمل بها أجر صيام الدهر كله كما سبق
Berpuasa selama enam hari dalam bulan Syawal selepas Ramadhan akan melengkapkan pahala puasa menjadi seperti pahala puasa selama setahun penuh sebagaimana telah disebut pada hadis di atas
2) Menyempurnakan kekurangan pada puasa Ramadhan
أن صيام شوال و شعبان كصلاة السنن الرواتب قبل الصلاة المفروضة و بعدها فيكمل بذلك ما حصل في الفرض من خلل و نقص فإن الفرائض تجبر أو تكمل بالنوافل يوم القيامة كما ورد ذلك عن النبي صلى الله عليه و سلم من وجوه متعددة و أكثر الناس في صيامه للفرض نقص و خلل فيحتاج إلى ما يجبره و يكمله من الأعمال
Puasa dalam bulan Syawal dan Sya’ban umpama solat sunat rawatib sebelum dan selepas solat fardhu. Ia akan menyempurnakan kekurangan yang ada pada amalan fardhu tersebut. Sesungguhnya amalan-amalan fardhu akan diperbaiki atau disempurnakan oleh amalan-amalan sunat pada hari kiamat kelak sebagaimana yang ada dalam pelbagai hadis-hadis nabi s.a.w. Kebanyakan manusia mempunyai kekurangan dan kecacatan pada amalan fardhu mereka yang mana ia memerlukan kepada pembaikan dan penyempurnaan melalui amalan-amalan (sunat)
3) Petanda puasa Ramadhan diterima Allah
أن معاودة الصيام بعد صيام رمضان علامة على قبول صوم رمضان فإن الله إذا تقبل عمل عبد وفقه لعمل صالح بعده كما قال بعضهم : ثواب الحسنة الحسنة بعدها فمن عمل حسنة ثم اتبعها بعد بحسنة كان ذلك علامة على قبول الحسنة الأولى كما أن من عمل حسنة ثم اتبعها بسيئة كان ذلك علامة رد الحسنة و عدم قبولها
Melaksanakan puasa sunat selepas bulan Ramadhan merupakan satu petanda bahawa puasa Ramadhan kita diterima Allah. Sesungguhnya apabila Allah s.w.t menerima amalan seseorang, Dia akan menjadikannya tetap melakukan kebaikan selepas itu. Sebahagian ulama berkata: Ganjaran kepada kebaikan adalah kebaikan selepasnya. Sesiapa yang melakukan kebaikan, lalu mengikuti selepasnya dengan kebaikan yang lain, ia merupakan petunjuk amalan kebaikan yang pertama diterima Allah. Begitu juga jika seseorang melakukan kebaikan, kemudian diikuti dengan melakukan kejahatan, ia merupakan petanda kebaikan yang pertama tadi tertolak dan tidak diterima Allah.
4) Tanda bersyukur kerana berjaya beribadat di bulan Ramadhan
أن صيام رمضان يوجب مغفرة ما تقدم من الذنوب كما سبق ذكره و أن الصائمين لرمضان يوفون أجورهم في يوم الفطر و هو يوم الجوائز فيكون معاودة الصيام بعد الفطر شكرا لهذه النعمة فلا نعمة أعظم من مغفرة الذنوب [ كان النبي صلى الله عليه و سلم يقوم حتى تتورم قدماه فيقال له : أتفعل هذا و قد غفر الله لك ماتقدم من ذنبك و ما تأخر ؟ فيقول : أفلا أكون عبدا شكورا ]
Puasa Ramadhan akan memastikan pelakunya mendapat keampunan untuk dosa-dosa yang telah dilakukan. Mereka yang berpuasa mendapat ganjaran mereka pada hari raya, dan hari tersebut merupakan satu kurniaan kepada mereka. Oleh itu melaksanakan puasa selepas hari raya merupakan satu bentuk kesyukuran untuk nikmat tersebut. Sungguh tiada nikmat yang lebih besar daripada nikmat diampuninya dosa-dosa yang telah dilakukan. Rasulullah s.a.w sering bangun mendirikan solat di waktu malam sehingga bengkak-bengkak kakinya, lalu dikatakan kepada baginda s.a.w: Kenapa engkau lakukan semua ini sedangkan Allah telah mengampuni dosa mu yang lalu dan yang akan datang. Jawab baginda s.a.w: Adakah salah aku menjadi hamba yang bersyukur?
كان بعض السلف إذا وفق لقيام ليلة من الليالي أصبح في نهاره صائما و يجعل صيامه شكرا للتوفيق للقيام و كان وهب بن الورد يسئل عن ثواب شيء من الأعمال كالطواف و نحوه ؟ فيقول : لا تسألوا عن ثوابه و لكن اسألوا ما الذي على من وفق لهذا العمل من الشكر للتوفيق و الإعانة عليه
Sebahagian generasi salaf (tiga generasi awal Islam) apabila mereka berjaya bangun malam (untuk beribadah), mereka akan bangun pagi dan berpuasa pada siangnya. Puasa itu dijadikan sebagai tanda kesyukuran di atas petunjuk yang membolehkan mereka bangun (beribadah) di waktu malam. Pada suatu hari, Wahab bin al-Warid ditanya tentang pahala untuk amalan seperti tawaf dan sebagainya. Lalu dia menjawab: Jangan kalian tanya tentang pahalanya. Sebaliknya tanyalah apa yang patut dilakukan oleh orang yang berjaya melakukan ibadah tersebut sebagai tanda bersyukur di atas petunjuk dan bantuan (Allah) untuk melaksanakan (ibadah tersebut). [Ringkasan daripada kata-kata Ibn Rajab al-Hanbali dalam Lathoif al-Ma’arif m/s 190-191]
Tatacara Melakukan Puasa Enam
Puasa enam di bulan Syawal boleh dilakukan pada bila-bila masa di bulan Syawal.
Imam an-Nawawi rahimahullah berkata:
قَالَ أَصْحَابُنَا : يُسْتَحَبُّ صَوْمُ سِتَّةِ أَيَّامٍ مِنْ شَوَّالٍ ، لِهَذَا الْحَدِيثِ قَالُوا : وَيُسْتَحَبُّ أَنْ يَصُومَهَا مُتَتَابِعَةً فِي أَوَّلِ شَوَّالٍ فَإِنْ فَرَّقَهَا أَوْ أَخَّرَهَا عَنْ شَوَّالٍ جَازَ
Ulama-ulama Syafiiyyah berkata: Disunatkan untuk berpuasa enam hari di bulan Syawal. Berdasarkan hadis ini (hadis Abu Ayyub al-Ansari) mereka berkata: Disunatkan melaksanakan puasa tersebut berturut-turut pada awal Syawal. Seandainya seseorang melakukannya secara berasingan (tidak berturut-turut) atau melewatkannya ke akhir Syawal, maka ia tetap dibenarkan. [al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, http://www.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?flag=1&bk_no=14&ID=4035]
Hendaklah mengqadha puasa Ramadhan terlebih dahulu
Sewajarnya seseorang yang mempunyai hutang puasa Ramadhan, hendaklah dia menyempurnakan dahulu puasa Ramadhan tersebut. Walaupun terdapat khilaf ulama’ di dalam hal ini, akan tetapi mendahulukan qadha’ itulah yang terbaik. Ini berdasarkan hadis di atas yang menunjukkan bahawa puasa Ramadhan itu perlu disempurnakan dahulu barulah kita mendapat pahala puasa setahun penuh apabila ditambah dengan puasa enam hari di bulan Syawal.
Sa’id bin al-Musayyib r.h.m pernah ditanya berkaitan puasa Zulhijjah, beliau menjawab :
لَا يَصْلُحُ حَتَّى يَبْدَأَ بِرَمَضَانَ
Tidak sewajarnya ia dilakukan kecuali selepas dia sudah mula (mengqadhakan) puasa Ramadhan [Sahih al-Bukhari, Kitab Puasa, Bab Bilakah Qadha Puasa Ramadhan]
Khusus mengenai puasa sunat Syawal, al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan:
فمن كان عليه قضاء من شهر رمضان فليبدأ بقضائه في شوال فإنه أسرع لبراءة ذمته و هو أولى من التطوع بصيام ستة من شوال فإن العلماء اختلفوا فيمن عليه صيام مفروض هل يجوز أن يتطوع قبله أو لا
Sesiapa yang mempunyai hutang puasa Ramadhan, hendaklah dia memulakan dengan melakukan qadha puasa tersebut dalam bulan Syawal. Sesungguhnya ini akan mempercepatkan pembebasan dirinya daripada kewajipan yang ada, dan ia lebih utama daripada melakukan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal. Ilmuan Islam berbeza pendapat tentang mereka yang mempunyai hutang puasa wajib, adakah dibenarkan atau tidak untuk melakukan puasa sunat sebelum melaksanakan hutang-hutang puasa wajib tersebut.
و على قول من جوز التطوع قبل القضاء فلا يحصل مقصود صيام ستة أيام من شوال إلا لمن أكمل صيام رمضان ثم أتبعه بست من شوال
Untuk pendapat yang menyatakan dibolehkan untuk melakukan puasa sunat sebelum qadha puasa wajib. Pahala (puasa setahun) untuk puasa sunam enam hari di bulan Syawal tidak akan diperolehi melainkan untuk sesiapa yang menyempurnakan dahulu puasa Ramadhannya kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal.
و من بدأ بالقضاء في شوال ثم أراد أن يتبع ذلك بصيام ستة من شوال بعد تكمله قضاء رمضان كان حسنا لأنه يصير حينئذ قد صام رمضان و أتبعه بست من شوال
Sesiapa yang memulakan dengan mengqadha puasa Ramadhan dalam bulan Syawal, kemudian dia mahu meneruskan dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal selepas menyempurnakan qadha’nya, maka itulah yang bagus. Ini kerana dengan cara itu dia telah menyempurnakan puasa Ramadhan dan diikuti dengan enam hari di bulan Syawal. [Ringkasan daripada Lathoif al-Ma’arif m/s 192]
Tidak sempat puasa sunat kerana qadha puasa?
Seorang Muslimah dari Jordan pernah bertanya kepada Shaikh Abdul Aziz bin Baz:
بدأت في صيام الست من شوال ولكني لم أستطع إكمالها بسبب بعض الظروف والأعمال حيث بقي عليَّ منها يومان، فماذا أفعل يا سماحة الشيخ؟ هل أقضيها؟ وهل عليَّ إثم في ذلك؟
Saya telah mula melakukan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, akan tetapi aku tidak mampu menyempurnakannya kerana sebab-sebab dan urusan tertentu hingga menyebabkan masih ada berbaki dua hari lagi. Apa yang perlu lakukan wahai sheikh? Adakah aku perlu mengqadhanya? Adakah aku berdosa untul hal tersebut?
Shaikh Bin Baz rahimahullah menjawab:
صيام الأيام الستة من شوال عبادة مستحبة غير واجبة، فلك أجر ما صمت منها ويرجى لك أجرها كاملة إذا كان المانع لك من إكمالها عذراً شرعياً؛ لقول النبي صلى الله عليه وسلم: ((إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا)) رواه البخاري في صحيحه. وليس عليك قضاء لما تركت منها. والله الموفق.
Puasa enam hari di bulan Syawal merupakan ibadah sunat dan bukannya wajib. Saudari akan mendapat pahala untuk puasa-puasa yang telah saudari lakukan, dan semoga saudari juga memperolehi pahala yang penuh seandainya perkara yang menghalang saudari daripada menyempurnakan puasa itu merupakan satu keuzuran yang diiktiraf syara’. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w : Seandainya seseorang itu sakit, atau bermusafir, nescaya Allah akan menulis untuknya (ganjaran) seperti amalan yang dia akan lakukan ketika bermukim dan sihat [Sahih al-Bukhari : 2791]. Oleh kerana itu, saudari tidak perlu mengqadha puasa sunat yang telah saudari tinggalkan. [http://www.binbaz.org.sa/mat/613]
Bolehkah digabung antara puasa Qadha dan Sunat?
Terdapat perbezaan pandangan ilmuan Islam dalam hal ini, Dr. Zaharuddin bin Abdul Rahman menyatakan: Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang spesifik membuktikan Nabi s.a.w pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.
Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik. Ini kerana pilihan Nabi s.a.w dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.
Malah terdapat juga hujah-hujah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti’ itu dipersoalkan, iaitu :-
1. Jika seseorang mengatakan boleh menggabungkan puasa qadha (yang wajib) dengan puasa Syawal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat Isyak dengan terawih, atau Subuh dengan ‘tahiyyatul masjid’ atau dengan solat sunat fajar, atau solat Jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid’. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu Subuh campur istikharah dan lain-lain.
2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (bekas ahli Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain. Ini kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajipannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a’lam. [http://zaharuddin.net/fiqh-ibadah/182-puasa-ganti-syawal-a-ziarah-raya.html]
Pembaca sekalian, kita sudahi pembacaan hari ini dengan merenung kata-kata al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali di bawah:
على كل نعمة على العبد من الله في دين أو دنيا يحتاج إلى شكر عليها ثم للتوفيق للشكر عليها نعمة أخرى تحتاج إلى شكر ثان ثم التوفيق للشكر الثاني نعمة أخرى يحتاج إلى شكر أخر و هكذا أبدا
Untuk setiap nikmat daripada Allah kepada hambanya, tidak kira sama ada dalam hal keagamaan mahupun duniawi, itu semua memerlukan syukur ke atas Nya. Kemudian, petunjuk Allah yang menyebabkan kita bersyukur tadi pula merupakan satu nikmat yang lain daripadanya, ia memerlukan kepada syukur yang kedua pula. Kemudian untuk petunjuk Allah yang membawa kepada syukur yang kedua tadi jua merupakan satu nikmat yang lain daripadanya, ia turut memerlukan kepada syukur yang lain lagi. Begitulah selamanya [Lathoif al-Ma’arif m/s 191]
Sebarkan, dan ajak rakan-rakan anda 'like' page al-Kahfi https://www.facebook.com/AlKahfiServices
untuk sentiasa mendapat update tulisan-tulisan terbaru :)

17 Kesalahan Berkaitan Solat


 


"SEMBAHYANG adalah amalan pertama yang dihisab Allah pada akhirat nanti. Jika sembahyang seseorang baik, baiklah pula seluruh amalannya dan begitu sebaliknya.Sembahyang perlu dipelihara sebaik-baiknya."

Antara kesalahan yang selalu dilakukan berkaitan sembahyang adalah:

1. Meninggalkan sembahyang.
Hal ini adalah suatu kekufuran berdasarkan al-Quran, sunnah dan ijmak.Allah berfirman bermaksud: "Apakah yang membuat kalian masuk ke dalam Neraka Saqar?' Mereka menjawab: "(Kerana) kami dulu tidak termasuk orang yang mendirikan solat." (Surah al-Muddatstsir, ayat 4)Rasulullah saw bersabda: "Perjanjian antara kami dengan mereka adalah solat, barang siapa meninggalkannya maka dia kafir." (Hadis riwayat Ahmad dan lainnya).

2. Melengah-lengahkan solat.
Firman Allah bermaksud : Sesungguhnya solat itu wajib atas orang beriman dalam waktu yang sudah ditentukan." (Surah an-Nisa, ayat 103)Oleh itu, melengah-lengahkan solat tanpa uzur yang dibolehkan syarak adalah berdosa besar.Rasulullah bersabda: "Itu adalah solat orang munafik. Dia duduk menunggu matahari, sampai jika matahari sudah berada antara dua tanduk syaitan (hendak tenggelam) dia berdiri dan menukik empat rakaat, sedangkan dia tidak mengingat Allah dalamnya kecuali sedikit." (Hadis riwayat Muslim).

3. Meniggalkan solat berjemaah.
Solat berjemaah adalah wajib kecuali bagi orang yang memiliki uzur yang dibolehkan syarak. Sabda Rasulullah bermaksud: "Siapa yang mendengarkan seruan azan tetapi tidak memenuhinya maka tidak ada solat baginya, kecuali kerana uzur." (Hadis riwayat Ibnu Majah).Allah berfirman, maksudnya: "Dan rukuklah bersama orang yang rukuk." (Surah al-Baqarah, ayat 43).Rasulullah bersabda: "Kemudian aku mengutus (utusan) kepada orang yang tidak solat berjemaah, hingga aku bakar rumah mereka." (Muttafaq Alaih).

4. Tidak thuma'ninah dalam solat
Thuma'ninah adalah rukun solat dan tidak sah solat tanpanya. Thuma'ninah ertinya tenang ketika sedang rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud.

Tenang maksudnya sampai tulang kembali pada posisi dan persendiannya, tidak tergesa-gesa dalam penggantian dari satu rukun ke rukun lainnya.

5. Tidak khusyuk dan banyak gerakan dalam solat.


6. Mendahului atau menyelisihi imam.
Hal ini boleh menyebabkan solat batal.

Makmum hendaklah mengikuti imam, tidak mendahului atau terlambat. Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya diadakannya imam itu untuk diikuti, kerana itu jika dia bertakbir, bertakbirlah, dan jangan kalian bertakbir sampai dia bertakbir, dan jika dia rukuk, maka rukuklah dan jangan kalian rukuk sampai dia rukuk... " (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

7. Bangun dari duduk untuk menyempurnakan rakaat sebelum imam selesai dari salam kedua.


8. Memandang ke langit (atas) atau menoleh ke kiri dan ke kanan ketika solat.
Hal ini diperkatakan Rasulullah dalam sabdanya: "Hendaklah orangmu berhenti daripada mendongakkan pandangannya ke langit ketika solat atau Allah tidak mengembalikan pandangannya kepada mereka." (Hadis riwayat Muslim)."Dan jauhilah orang yang menoleh dalam solat kerana sesungguhnya ia adalah suatu kebinasaan." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

9. Mengenakan pakaian nipis yang tidak menutupi aurat.
Hal ini membatalkan solat kerana menutup aurat adalah syarat sah solat.

10. Tidak memakai tudung dan menutupi telapak kaki bagi wanita kerana aurat wanita dalam solat adalah seluruh tubuhnya kecuali wajah dan telapak tangan.
Ummu Salamah ditanya mengenai pakaian solat wanita. Beliau menjawab: "Hendaknya dia solat dengan kerudung, dan baju kurung panjang yang menutupi kedua-dua telapak kakinya."

11. Melintas di depan orang yang sedang solat.
Rasulullah bersabda: "Seandainya orang yang lalu di depan orang solat itu mengetahui dosanya, tentu berhenti (menunggu) empat puluh (tahun) lebih baik baginya daripada melintas di depannya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

12. Tidak melakukan takbiratul ihram ketika mendapati imam sedang rukuk.
Takbiratul ihram adalah rukun solat dan wajib dilakukan dalam keadaan berdiri, baru kemudian mengikuti imam yang sedang rukuk.

13. Tidak langsung mengikuti keadaan imam ketika masuk masjid.
Orang yang masuk masjid hendaknya langsung mengikuti imam, baik ketika itu sedang duduk, sujud atau lainnya.Rasulullah bersabda: "Jika kalian datang untuk solat dan kami sedang sujud, maka sujudlah!" (Hadis riwayat Abu Daud).

14. Melakukan sesuatu yang melalaikan daripada solat seperti menonton televisyen dan bersembang.
Allah berfirman, maksudnya: "Wahai orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikanmu daripada mengingat Allah, barang siapa melakukan demikian maka mereka itulah orang yang rugi." (Surah al-Munafiqun, ayat 9).

15. Makruh memejamkan mata ketika solat tanpa keperluan.
Seperti diriwayatkan Ibnu Qayyim berkata, Nabi tidak mencontohkan solat dengan memejamkan mata.Tetapi, jika memejamkan mata diperlukan, misalnya, kerana di hadapannya ada lukisan atau sesuatu yang menghalangi kekhusyukannya maka hal itu tidak makruh.

16. Tidak melurus atau merapatkan barisan ketika berjemaah.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Kalian mahu meluruskan barisan kalian atau Allah akan membuat perselisihan antara hati kalian." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

17. Tidak memperhatikan sujud dengan tujuh anggota.
Nabi Muhammad saw bersabda: "Kami diperintahkan untuk sujud dengan tujuh anggota; kening dan beliau mengisyaratkan dengan tangannya sampai ke hidungnya, dua tangan, dua lutut dan dua telapak kaki." (Muttafaq Alaih)

Cara Rasulullah S.A.W Menjaga Kesihatan Diri






SELALU BANGUN SEBELUM SUBUH

Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah.

Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.

AKTIF MENJAGA KEBERSIHAN

Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.
“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim)
TIDAK PERNAH MAKAN BERLEBIHAN

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
“Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)
Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan.

Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat.

GEMAR BERJALAN KAKI

Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar.

Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita pergi.

TIDAK PEMARAH

Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa.

Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring.

Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilang kan gundah di hati.

OPTIMIS DAN TIDAK PUTUS ASA

Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah s.w.t.

TIDAK PERNAH IRI HATI

Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”

PEMAAF

Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan.

Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat.

“BAHAGIA sebenarnya bukan MENDAPAT tetapi dengan MEMBERI. Sebenarnya, banyak lagi cara hidup sihat rasulullah, semoga hati kita semakin dekat dengan Nabi yang amat kita rindukan pertemuan dengannya.”