Ada manusia berperangai macam kucing aniaya tikus...

 
selatanonline
Blog lanh14.blogspot.com

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.Renungan "Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)

GAMBARAN ini sesekali berlaku - di pejabat bos mendera pekerja, apabila balik rumah si pekerja melepaskan geram kepada isteri, si isteri pula memarahi anak, si anak pula menendang kucing dan kucing pula membalas dendam dengan 'mempermain-mainkan' tikus.
Mungkin pembaca pernah menyaksikan adegan kucing menggigit dan 'menampar-menampar' tikus; nampak sangat ia bukan hendak makan sangat tikus itu tetapi hanya untuk 'bermain-main'. Kucing pun tahu 'keseronokan' melihat mangsanya 'terkapai-kapai', berusaha untuk menyelamatkan nyawanya. Jika kucing pun tahu mendera mangsanya, apatah lagi dapat dikatakan terhadap sesetengah manusia yang 'berperangai macam binatang'.
Demikian adat permainan dunia, yang kuat menindas yang lemah, yang lemah menindas yang lebih lemah dan yang lebih lemah menindas yang terlalu lemah. Adalah lumrah orang berkuasa menindas orang tidak berkuasa dan orang kaya menindas orang miskin.
Dalam rumahtangga, ada ibu bapa yang mendera si anak, sehingga ada kes menyebabkan kematian si anak. Anak yang tidak mengerti apa-apa, dicucuh dengan puntung rokok, disimbah air panas dan aneka penderaan lain. Ada pula suami mendera isteri dan yang lebih takjub, ada isteri mendera suami.
Di peringkat antarabangsa pula, negara kaya menindas negara miskin. Tidak menghairankan jika ada negara berkuasa 'membuli' negara lemah. Dan bukanlah sesuatu yang luar biasa jika negara berkuasa dan kaya berpadu tenaga untuk terus berkuasa.
Ketika ini negara kaya dunia berpadu tenaga dalam Kumpulan Lapan (G-8) manakala negara miskin gagal bersatu kerana kebanyakannya 'gemar mengampu' negara berkuasa dan kaya kerana berpendapat itulah satu-satu jalan kesinambungannya (survival).
Demikianlah manusia dan tamadunnya berpaksi kepada hukum rimba. Jika pemimpin dunia termasuk dari negara kita, mengutuk kezaliman yang berlaku di luar negara, sewajarlah mereka menoleh ke belakang, melihat apa pula yang telah mereka lakukan terhadap orang lemah yang berada dalam tangan (kekuasaan) mereka.
Jika pemimpin negara mencemuh kezaliman belahan lain dunia seperti di Myanmar (Burma), Iraq dan Afghanistan, mereka mesti bersedia pula untuk mengutuk diri kerana melakukan kezaliman di negara sendiri.
Pendedahan mangsa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk anak isteri mereka tidak lama dulu, adalah bukti penderaan yang dilakukan ke atas insan-insan lemah.
Tetapi sesuatu yang pasti mengenai kehidupan ini ialah ia ibarat roda. Ada kalanya satu bahagian roda itu berada di atas dan pada ketika yang lain pula, ia berada di bawah.
Seorang manusia itu tidak sentiasa akan kuat dan berkuasa. Yang muda akan tua, yang berkuasa akan lemah - semuanya menuju kemusnahan. Yang kuat dan berkuasa tadi akan menerima pembalasan masing-masing.
Orang yang mendera anaknya ketika si anak masih kecil, akan didera pula pada masa tuanya. Mungkin yang mendera itu si anaknya sendiri.
Pemimpin yang melakukan kezaliman lambat-laun akan menerima pembalasannya. Ramai pemimpin ternama dan berkuasa dunia mati dalam keadaan penuh penghinaan. Pada zaman purba, nama-nama seperti Firaun, Hamman dan Qarun dicatatkan dalam al-Quran.
Pada zaman moden ini, ramai pemimpin gah, mengakhiri kehidupan penuh penghinaan. Antaranya diktator Ferdinand Marcos, Idi Amin dan Shah Reza Pahlavi.
Tetapi insan dizalimi mati penuh penghormatan. Nama mereka terus subur, seolah-olah masih hidup di kalangan insan. Antara yang mencatat sejarah sedemikian ialah Syed Qutb, Hassan al-Banna, Hamka dan Maududdi.
Ada peribahasa berbunyi, apa yang ditanam itulah yang akan dituai. Jika kezaliman yang ditanam, kezalimanlah yang akan diterimanya, jika kasih sayang ditanam, kasih sayanglah yang akan dituai.
Sehubungan itu, diingatkan pada diri sendiri dan pembaca sekalian supaya muhasabah diri. Usahlah asyik menuduh orang lain zalim, sedangkan kita menzalimi diri sendiri - selepas mati tidak mungkin kita dihidupkan semula untuk menebus dosa kezaliman kita.
Posted by aya