duduk jauh v duduk dekat

Rasa untuk bernikah adalah fitrah yang ALLAH datangkan dalam diri setiap hambaNYA. Manusia merindukan kasih sayang hidup berpasangan. Kita menginginkan kemesraan dan kebahagiaan melingkari kehidupan bila mana kita memilih untuk bernikah.

Namun situasi hari ini, suami dan isteri kadang-kadang menghadapi dilema perpisahan - perhubungan jarak jauh - kerana tuntutan kerjaya. Berjumpa sebulan sekali atau dua kali. Atau jarang sekali.

Si isteri bekerja di negeri atau negara lain dengan gaji yang selesa. Si suami juga berada di tempat kerja lain, yang mungkin juga di kampung halaman sendiri yang menjadi keselesaan dan keutamaan.

Lalu apakah nilai pernikahan jika dihambat perpisahan dan kejauhan?

Suami mengharapkan belaian cinta kasih isteri, yang dulunya haram.. kini setelah halal bermesra-mesra , namun berjauhan pula?

Isteri berharap suami menjadi teman cinta yang melindungi dan menjaga dirinya dalam pelbagai perkara, namun suami jauh terpisah oleh sempadan negeri dan negara?

Rezeki dan Ekonomi

Pandangan peribadi saya, isteri lah yang wajar mengikut jejak suami, walau di bumi mana sekalipun suami bertugas. Apatah lagi, jika ia adalah permintaan suami, maka isteri wajib berusaha untuk taat dan melepaskan kerjayanya. (Namun ada kerjaya tertentu seperti tentera, kelasi dll yang pastinya tidak memungkinkan isteri mengikut suami).

Kewajipan untuk taat dan mengikut suami bukanlah syariat ALLAH yang zalim. Maha Suci Allah dari semua itu. ALLAH sebaik-baik penyusun kehidupan, maka kita bersangka baik bahawa semua sistem dan peraturan yang ALLAH letakkan antara suami dan isteri adalah untuk memelihara kehidupan berkeluarga.

Kalau berhenti kerja, atau bertukar kerja.. akan memberi kesan kepada gaji dan pendapatan?

Usah bimbang, yakinlah ALLAH adalah pemberi rezeki yang sempurna. ALLAH menyusun setepat-tepatnya rezeki buat kita semua – suami, isteri, anak-anak, ibu bapa hatta setiap manusia itu ALLAH telah tetapkan rezekinya.

Kita hanya perlu berusaha pada kadar yang kita mampu.

Jika suami meminta isteri berhenti kerja, suami juga menyatakan kemampuan menanggung isteri sepenuhnya, subhanallah..inilah yang terbaik. Terbaik kerana terungkap dalam firman ALLAH, bahawa lelaki itu yang seharusnya menyara kehidupan seorang isteri.

Maka dengan keringat suami bekerja, akan cukup makan minum dan pakai seorang isteri. Punya tempat berteduh. Punya kenderaan yang boleh membawa suami dan isteri ke mana-mana.

Namun harus diingat, gaji suami tak akan pernah cukup untuk isteri yang 'high maintenance'.. banyak keinginan material dan punya nafsu shopping atau berbelanja yang tinggi..

Selain itu, benar sekali kata-kata yang biasa didengar "anak itu rezeki..".

Ya, ALLAH jua telah tetapkan ada rezeki untuk anak-anak itu, kita hanya berusaha mencarinya dengan cara yang terbaik, bukan dengan cara yang boleh mengancam hubungan suami isteri.
Mak ayah kita orang susah...?
Bantulah ibu dan ayah mengikut kemampuan kita..dan sebenarnya, adakah ibu dan ayah hanya perlu pada duit dan sumbangan material kita?

Tak. Maka jangan disempitkan erti memberi dan berbakti pada ibu dan ayah.

Sesungguhnya ibu bapa memerlukan anak yang soleh itu lebih dari segala-galanya.

Anak yang soleh, mendoakan keselamatan dan kebahagiaan ibu ayah di dunia dan akhirat. Apatah lagi jika ibu dan ayah semakin tua, anak-anak terlebih lagi perlu mengingatkan ibu dan ayah kepada dunia yang akan habis dan ditinggalkan.

Berharganya pemberian anak-anak bukan pada nilai ringgit malaysia dua ratus atau dua ribu sebulan, tapi pada keikhlasan dan istiqamah dalam menghulurkan. Ini yang menjadi nilaian ALLAH.

Anak yang soleh adalah anak yang bertaqwa. Bukankah ALLAh telah berjanji, akan sentiasa ada rezeki buat hamba-hambaNya yang bertaqwa?

Dan bertaqwa itu datangnya dari ilmu. Maka suami dan isteri usahakan mencari ilmu agama dan dunia dengan seimbang. Dalam sibuk mencari rezeki, usahakan ke kelas agama- belajar Al Quran dan Hadis, belajarlah ilmu-ilmu ALLAH yang memandu kita kepada kebahagiaan sebenar.

Supaya kemudian, bila ilmu dan taqwa menjadi bekal diri... hati merasa lapang, lagi merasa cukup dengan pendapatan bulanan. Mampu menjadi suami dan isteri yang bahagia bersyukur dengan rezeki ALLAH.

Dan yang penting juga, perlu memiliki pengurusan kewangan yang baik. Selain belanja kita suami isteri, hutang-hutang, bil-bil, sewa rumah dan kereta, jangan lupa masukkan dalam bajet bulan – sumbangan atau sedekah kita pada ibu ayah, adik beradik dan ahli keluarga terdekat. Boleh juga disediakan bajet untuk sedekah pada insan-insan yang memerlukan.

"If you want to feel rich, just count all of the things you have that money cannot buy "

Setelah mengatur kewangan dengan baik, setelah berusaha dan berdoa pada ALLAH agar dilapangkan rezeki...apakah masih tidak cukup gaji bulanan..?

Ayuh muhasabah harta benda yang dimiliki..Mungkin ada di sana sini yang kita berbelanja mengikut nafsu..

Berapa almari pakaian kita? Berapa banyak handbag kita? Berapa pasang kasut yang kita miliki? Jam tangan, handphone, alat make-up, perhiasan diri dan rumah... semua ini dibolehkan namun bersederhanalah.

Duduk jauh vs duduk sekali

Setelah duduk satu rumah, hari-hari bertemu muka... awal-awalnya kalian merasakan kebahagiaan hidup berdua. Saling memanjai, saling berkasih sayang, segala aktiviti terasa 'sweet' dan indah.

Dalam masa yang sama, berhati-hatilah dengan tipudaya syaitan. Syaitan telah bersumpah di hadapan ALLAH untuk memecahbelahkan kasih sayang dan persaudaraan. Rasul SAW juga mengungkap dalam hadisnya bahawa syaitan sentiasa bersama kita dalam setiap keadaan , dan mudah mempengaruhi bila kita lupakan ALLAH.

Dan syaitan yang paling hebat mendapat pengiktirafan di kalangan 'geng' mereka adalah, syaitan yang berjaya memisah-misahkan suami isteri..

"Dulu masa bercinta ok je? Dulu masa duduk jauh ok je? Kenapa sekarang macam banyak je yang tak kena.. Asyik nak bergaduh..."

Saat berjauhan, hati sering merindu. Ada rasa teruja dan bersemangat menanti pertemuan saban minggu atau saban bulan. Hati dan diri berusaha memberi yang terbaik pada pasangan.

Namun bila duduk satu rumah, semakin banyak perkara yang dihadapi bersama, pastinya suasana menjadi lain. Apatah lagi perasaan cinta selepas bernikah, sukar untuk terus segar seiring dengan masa.

Percayalah..semua pasangan akan berkonflik untuk fasa membangunkan keserasian dan kefahaman.

Jadi harus positif, bersedia untuk belajar dan berubah. Kebahagiaan dalam pernikahan tidak subur dengan sendirinya, perlu konsisten berbuat baik, perlu bermujahadah untuk berakhlak baik, perlu ikhlas... mencintai dan melayani suami dan isteri kerana benar-benar inginkan redha tuhan.

Jika tidak ikhlas mencintai manusia kerana ALLAH , hati terasa sakit mencintai manusia. Tanpa ALLAH di hati, hati tak mampu memaafkan.


Ujian bakal menerpa silih berganti. Ujian kewangan, ujian mertua dan ipar duai, ujian hubungan seksual, ujian kerjaya, ujian komunikasi dan lain-lain lagi bentuk ujian kecil dan besar...

Malah betapa banyaknya pasangan yang rasa 'sesak dada' menghadapi pelbagai-bagai perbezaan yang seakan menghapuskan cinta yang pernah mekar di dalam dada. Perbezaan psikologi lelaki dan perempuan, cara bertindak, dan cara berperasaan..jika tidak berusaha difahami, isteri semakin bosan dengan gelagat suami, suami semakin bosan juga dengan kerenah isteri..

Juga cara berpenampilan, cara makan dan minum, cara tidur, cara mengemas, cara menjaga kebersihan, cara bersosial, cara mendidik anak, cara bershopping... salah satunya atau kebanyakkan perkara ini jika tak ditangani dengan baik menjadikan hati-hati kita kecewa dengan pernikahan.

Malah jika semua bentuk-bentuk ujian ini tidak dihadapi dengan emosi dan pemikiran yang matang, bersedialah anda untuk bercerai selepas dua tiga tahun usia pernikahan..

Perkongsian ini bukan untuk menakutkan, tapi dari pengalaman isteri-isteri /jua suami-suami yang berkongsi permasalahan.

Ayuh belajar berkomunikasi dengan baik dalam hubungan pernikahan yang dijalin ALLAH ini. Ungkapkan terima kasih dan penghargaan atas perkara kecil dan besar yang dilakukan pasangan. Nyatakan ketidakpuasan hati jua teguran dengan hikmah dan bijak. Saling menasihati dengan kesabaran dan kasih sayang..

Oleh itu, andai diri bersedia untuk duduk dekat dan serumah dengan suami, bersedialah mental dan fizikal untuk melaksanakan kewajipan sebagai isteri, sebaiknya dan seikhlasnya.

Bagi yang bujang, ada yang sering merasa 'kecederaan hati' melihat kebahagiaan pasangan yang gambar bahagia terpapar di mana-mana blog atau forum maya, namun realitinya.. Di sebalik gambar-gambar dan wajah-wajah bahagia itu, ada pasangan suami isteri itu yang lebih 'tercedera' lagi hati mereka dengan sikap pasangan dan situasi rumahtangga yang diuji.
Isteri Sebagai Pencorak Rumahtangga

Dalam sebuah buku yang saya baca, jatuh bangun sesebuah rumahtangga banyak ditentukan oleh peranan isteri dan ibu. Kejayaan dan kegagalan seorang suami juga ada pengaruh besar dari isteri. Maka atas sebab itulah, saya memberi pandangan bahawa yang terbaik adalah isteri menjadi isteri dan ibu sepenuh masa. Tanpa perlu bekerja pada mana-mana majikan lain.

Cukuplah ALLAH dan suami menjadi majikan. Isteri dan ibu fokus pada membina keluarga yang menjadi tempat berteduh yang nyaman dan harmoni buat suami dan anak-anak. [Dalam masa yang sama, ada pertimbangan-pertimbangan lain yang kita bersetuju bilamana isteri terpaksa bekerja.]

Suami akan tenang bekerja, dan kuat menghadapi tanggungjawab lain di luar rumah dengan adanya isteri di rumah yang juga tenang dan kuat. Tenang lagi menenangkan. Isteri yang berilmu dan beriman. Isteri yang hatinya luas dengan kasih sayang, sabar dan bijak menghadapi suami yang stress dengan kerjaya dan ujian lain. Isteri yang cekap menguruskan kerja-kerja rumahtangga dan berhemah menguruskan belanjawan rumahtangga.

Namun bila bekerja, isteri seakan telah habis emosinya di tempat kerja, dengan bebanan kerja yang meragut senyuman dan ketenangan hati seorang isteri dan ibu. Pulang ke rumah, suami dan anak-anak tidak punya wajah teduh seorang isteri dan ibu, kerana ibu juga pulang bekerja dengan rasa kepenatan mengejar dateline dan seribu satu tugasan di tempat kerja.

Pada wanita yang terpaksa bekerja, moga ALLAH membantu meringankan beban kalian menghadapi tanggungjawab mencari rezeki..moga ada jalan keluar untuk masalah ekonomi yang tak kunjung sudah..

"Bosannya duduk rumah..."

Bosan akan kadang-kadang menimpa, bukan sekadar pada isteri yang duduk di rumah, mereka yang di tempat kerja juga kadang-kadang merasa bosan dan malas dengan rutin kerja seharian..

Ya, harus saya akui kadang-kadang hadir rasa bosan tinggal di rumah bersama anak dan melakukan kerja-kerja rumah, namun itu adalah perasaan yang sangat manusiawi. Maka saya mencari aktiviti-aktiviti pelbagai yang boleh dilakukan di dalam dan luar rumah, selagi dalam batas syariat ALLAH, agar kita dapat menjaga semangat dan keikhlasan dalam berkhidmat untuk keluarga..

Malah dengan adanya dunia tanpa sempadaan di alam maya, maka pelbagai bisnes dan aktiviti yang boleh mendatangkan keuntungan di lakukan secara online. Belajarlah ilmu ini dari yang telah berjaya melakukan.

Jangan sekadar menghabiskan jam-jam yang bayak depan internet, hanya sembang kosong, bergosip ..namun jadikan kemudahan internet sebagai ruang untuk menambah pendapatan, menambah ilmu agama dan dunia, untuk mempertingkat kualiti diri sebagai manusia melalui laman-laman web yang membina.


Penghilang bosan yang utama adalah mengingatkan diri kita hakikat kehidupan. Kita dalam perjalanan pulang bertemu tuhan..kalau bosan, tidak boleh berlama-lama. Kalau sedih, usah larut panjang berjela. Kalau marah, tahanlah semampunya, maafkanlah semua..Mintalah maaf dari orang yang kita lukai, mohonlah ampun pada ALLAH..

Kuatkan hati, bangun semula..

Bila telah memilih berhenti kerja kerana mengikut suami, jangan menyesali keputusan yang dibuat.

Berbaloikah pengorbanan kita meninggalkan kerjaya yang stabil, hanya untuk melalui ujian rumahtangga yang sebegini..?

Berbaloi insyaALLAH.. Kalian memilih berhenti kerja, kerana cinta dan niat murni memberi yang terbaik untuk suami dan keluarga, maka ALLAh akan menjaga kalian. ALLAH adalah sebaik-baik pemelihara diri kita, dan pemelihara cinta kita.

Yakinlah. Berusahalah menjadi hamba yang soleh. Berimanlah pada ketentuan tuhan.

Moga pilihan kita hari ini akan memberi makna dan nilai yang besar pada saatnya waktu bertemu tuhan.

Sekian perkongsian, moga bermanfaat~

music

Nyanyian yang lunak adalah santapan jiwa manusia, menyegarkan otak dan disukai oleh pendengaran. Ia adalah kelazatan bagi telinga sepertimana makanan yang menjadi kelazatan bagi mulut dan perut. Pemandangan yang indah menjadi kelazatan bagi mata, bauan yang harum menjadi kelazatan bagi hidung dan sebainya. Adakah perkara-perkara yang baik dan lazat ini haram bagi Islam?
Daripada beberapa dalil Qur’an, setiap benda yang baik lazimnya halal. Oleh itu setiap yang baik dipandang oleh jiwa dengan baik, akal manusia yang sejahtera adalah halal sebagai kerahmatan kepada umat Islam ini dan juga kerana kesyumulan, kelengkapan, dan keberkekalan risalah Islam.
Firman Allah (maksud):
“Mereka bertanya kepadamu:Apakah yang dihalalkan bagi mereka? Bagi menjawabnya katakanlah: Dihalalkan bagi kamu yang lazat-lazat serta baik. “(Maaidah: 4)
Hak mutlak menghalal/mengharam sesuatu adalah milik Allah saja: (maksud):
“Katakanlah: Sudahkah kamu nampak baik buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfa’at kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanyaharam dan sebahagian lagi halal?Katakanlah lagi (kpd mereka):Adakah Allah mengizinkan kepada kamu hanya mengada-ngadakan secara dusta terhadap Allah?” (Yunus:59)
Firman Allah (maksud):
“Sesungguhnya merugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan lagi tidak berilmu (sedang Allah memberi rezki kepada sekelian makhluk); dan rugilah (mereka) yang mengharamkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka dengan berdusta terhadap Allah. Sesungguhnya sesatlah mereka dan tiadalah mereka mendapat petunjuk.” (al An’am: 140)
Firman Allah (maksud):
Dan kehidupan dunia ini hanyalah LAHWUN dan permainan belaka..” (Ankabut: 64)
Rasulullah s.a.w. pernah menasihati Handzalah, Wahai Handzalah, bergurau ada masanya dan serius ada masanya. Saidina Ali ada menasihatkan: Rehatkan hatimu dari masa ke semasa kerana hati jika dipaksa akan menjadi buta. Juga dari Ali KW:Hati juga merasa jemu sepertimana juga badan merasa jemu, maka carilah perkara-perkara yang menarik untuk menghiburkannya. Telah berkata Abu Darda’: Aku menghiburkan diriku dengan sedikit al Lahwu untuk menguatkan diriku dalam melakukan perkara-perkara kebaikan.
KATA IMAM AL GHAZALI:
Apabila diajukan kepada Imam alGhazali apakah nyanyian termasuk al Lahwu? Beliau berkata: Ya begitulah sebenarnya. Sesungguhnya seluruh dunia adalah al lahwu dan permainan dan semua guarauan bersama isteri adalah al lahwu melainkan jima’ yang bertujuan melahirkan zuriat. Begitu juga setiap gurauan yang tidak mengandungi kejahatan dan kemaksiatan, maka ia adalah halal. Sebab itulah ada waktu-waktunya makruh mengerjakan solat nawafil (sunat) untuk memberi kerihatan kepada orang yang sering melakukannya. Kerihatan sebenarnya menolong utk terus beramal. Sedikit dalam al lahwu dapat menolong seseorang dalam situasi tegang oleh kerana kita tidak akan mampu untuk sentiasa dalam keadaan serius dan kepahitan sepanjang masa kecuali jiwa para Anbiya’.
Maka al lahwu (berhibur seketika) adalah ubat juga bagi jiwa. Maka allahwu sudah semestinya Harus. Tapi al lahwu seperti mana ubat-ubatan yang lain ia tidak boleh diambil secara berlebihan.
Jika al lahwu disertai dengan niat ibadah, ia menjadi ketaatan kepada Allah. Sesiapa yang mendengar nyanyian dan muzikal janganlah menganggapnya sebagai sifat terpuji! Tapi hanya sekadar mendapatkan kelazatan dan kerihatan semata-mata.
Manusia mempunyai tingkatan: perkara-perkara yang harus kepada golongan martabat ABRAR (golongan yang baik) adalah kejahatan kepada golongan muqarrabin ( mereka yang sangat hampir dengan Allah) dan seterusnya.
Oleh itu kita mesti mengambil hukum ‘am/pada kadar yang biasa. Bagi yang mengetahui selok belok cara untuk mengubat hati, cara untuk melembutkan hati dan mendorongnya kepada kebenaran, secara pasti dia juga akan tahu bahawa merihatkan hati dengan perkara-perkara begini (lahwun dan la’ibun) adalah ubat yang berguna yang mesti digunakan (al Ghazali).
Nyanyian adalah Harus (dibolehkan) tapi dalam Acuan Islam . Muzik adalah termasuk dalam perkara tabi’iy (asasi) di sisi fitrah manusia. Ia juga termasuk bab Urf (adat resam sesuatu bangsa); ada bangsa yang amat suka kepada muzik dan nyanyian; Islam tidak menghalang sesuatu yang selari dengan fitrah dan diterima oleh urf (adat) atau cara hidup budaya setempat. (Prof Qardhawi, halal ; haram , juga Fatwa Mu’asirat) Bermain gambus dan nyanyian oleh hamba sahaya sudah diamalkan sejak zaman Ali bin Talib dan tiada yang menegahnya..
Malangnya industri musik seperti juga bidang-bidang lain, ia diterajui oleh Barat yang mempunyai muslihat yang jahat terhadap Islam terutama remajanya. Apabila industri muzik; nyanyian itu diterajui oleh Barat, maka umat Islam perlulah berhati-hati, unsur-unsur yang diketengahkan oleh mereka adalah bertujuan melalaikan manusia, menjatuhkan mereka kepada maksiat dan menjurus kepada manusia meninggalkan kehidupan beragama. Industri muzik Barat juga memperkenalkan pelbagai jenis muzik yang melampau seperti heavy metal, rap, rock, super dance dan lain-lain yang bertentangan dengan fitrah. Ini bertentangan dengan hiburan dalam Islam yang bertujuan memberi sedikit kerehatan kepada jiwa manusia.
Oleh itu rumusannya industri musik dan nyanyian yang harus ialah yang sesuai dengan fitrah manusia, menghibur dan memberi ketenangan kepada jiwa dan mematuhi adab-adab Islam ; ini menuntut kesedaran Islam yang tinggi dari pemuzik dan pencipta lagu Muslim supaya membentuk arahalir industri musik yang tersendiri dan terpisah drpd pengaruh jahat Barat. Sebarang percubaan Barat untuk menghanyutkan umat Islam kepada kemaksiatan, kemudharatan dan kefasikan, mestilah dihalang, menetapi kaedah Masoleh Mursalah (kepentingan awam), Sadd Adz Dhara’iy (menutup pintu-pintu kejahatan) dan Istiqra’ (pungutan suara rakyat) juga Urf (adat budaya tempatan).
PANDANGAN ULAMA’ TERHADAP MUZIK
Ulamak yang paling berautoriti dalam hukum-hukum yang baru utk abad ini ialah al marhum Syaikh Mahmud Syaltut, bekas rektor al Azhar dalam koleksi Fatwanya, alFatawa (terbitan Darul syuruq, Cairo. 1960) ms 355-359 menjelaskan dengan tegas empat perkara tentang muzik:
Pertama: Mendengar dan bermain alat muzik adalah sama (hukumnya) dengan merasa makanan yang lazat, menghidu bau yang harum, melihat pemandangan yang cantik atau mencapai pengetahuan yang tidak diketahui adalah semuanya keseronokan naluri yang dianugrahkan Tuhan kepada manusia. Semuanya memberi kesan menenangkan fikiran apabila kepenatan jasmani dan memberi kesan dalam memulihkan semula tenaga. (Syaikh Syaltut menggunakan hujah Imam alGhazali dalam Ihya Ulumiddin, Jld 2, pg 208.)
Kedua: AlQur’an yang mendasari segala peraturan dan perundangan di atas dasar kesempurnaan dalam Tujuan sentiasa menjaga supaya tidak berlaku keterlaluan dipihak yang tidak menggunakan muzik dan pihak yang menggunakan muzik secara berlebihan. Islam mahukan kesederhanaan.
Ketiga: Fuqaha’ terdahulu membenarkan musik apabila mempunyai konteks yang sesuai seperti muzik iringan ke medan perang, hajji, perkahwinan, perayaan id. Mengikut fuqaha’ Hanafi muzik yang dilarang ialah dengan bersyarat jika ia bercampur dengan sebutan alkohol, gadis penyanyi, fusuq, perzinaan dan keberhalaan. Aku (Syaltut) berpendapat larangan terhadap muzik adalah berdasarkan kpd konteks dan iringannya dengan yang lain dan bukanlah suatu reaksi terhadap muzik itu sendiri.
Keempat: Syaltut memberi amaran bahawa sesiapa yang berani melarang sesuatu perkara yang tidak jelas dilarang oleh Allah. Dalilnya ialah firman Allah dalam surah al A’raf: 32-33. siapakah yang berani mengharamkan perhiasan drpd Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan rezki yang baik-baik?….. hingga akhir.
Kesimpulannnya: secara ‘amnya muzik dibenarkan, jika ada larangan terhadapnya adalah kemalangan atau pengecualian disebabkan perlaku penyalahgunaan terhadap muzik itu sendiri.
Hukum mengenai muzik, pemuzik dan alat muzik mengikut Hujjatul Islam alGhazali (Ihya’ Ulumidin, vol 2, pg 283-301) menjelaskan ada tiga komponen penting yang mempengaruhi hukum muzik yang mungkin berubah dari masa kesemasa: zaman, makan dan ikhwan. ‘Zaman’ merujuk kepada masa, apakah muzik itu melalaikan daripada jihad dan ibadah. ‘Makan’ merujuk kepada suasana, situasi, occasion atau upacara di mana muzik itu dipersembahkan. ‘Ikhwan’: merujuk kepada aktiviti muzik itu; jika dengan muzik itu boleh menyebabkan mereka terdedah kepada manusia yang jahat atau membawa kepada kejatuhan moral.
Menurut al Ghazali inilah tiga komponen yang menjadi neraca bagi muslim di setiap zaman menghukum muzik: zaman, makan dan ikhwan.
Berbalik kepada soalan asal: Apakah alat muzik yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan dalam Islam?
Al Ghazali menjelaskan (Ihya’ Ulumiddin, vol2, pg 271-272): tidak ada keterangan yang jelas dari sunnah yang melarang alat-alat muzik bahkan setengah alat muzik yang mempunyai bunyi yang baik tidak dilarang, ia tidak lebih daripada seperti kemerduan suara burung. Ianya dilarang jika ada hubungan atau dikaitkan dengan kumpulan peminum arak, homoseks dan lain-lain yang dilarang.
Menurut Prof Lamya’ alfaruqui hukum hudud Islam jika seseorang didapati mencuri alat muzik ini berbedza-bedza mengikut madzhab. Misalnya menurut Syaikh Ibn Abu Zaid al Qairawan, Bakhurah alSa’ad menjelaskan pencuri alat muzik tidak boleh dipotong tangannya. Imam Syafi’iy dalam al Umm menjelaskan seseorang yang didapati bersalah memecahkan peralatan muzik tidak boleh dihukum. Manakala menurut sebahagian ulamak sesiapa yang memecahkan seruling atau sebarang alat muzik, ia layak dkenakan hukuman kerana menjual peralatan muzik itu sah di sisi undang-undang Islam.
Kesimpulan dan tarjih:
  1. Menurut Fatwa Syaltut, muzik adalah harus selagi bukan untuk tujuan melalaikan dan maksiat
  2. Menurut al Ghazali, tidak ada perincian syara’ tentang peralatan muzik yang halal dan haram. Ia bergantung kpd zaman(masa), makan(tempat), dan ikhwan(aktiviti muzik); mana-mana alat muzik yang baik dan lunak di dengar adalah harus, dan mana-mana alat muzik yang jelik dan dihubungkan dengan kumpulan manusia yang jahat akhlaknya adalah ditegah.
  3. Hukum muzik, pemuzik dan peralatan muzik akan sentiasa berubah mengikut keadaan umat dan ulamak semasa.