Ego Dan Dendam

Pernahkah kita sampai ke tahap langsung tidak merasa bersalah dan menyesal melakukan dosa atau jenayah?
Jika itu yang berlaku, awas kerana semua itu adalah tanda hati terlalu 'berkarat' dan mati.
Hati yang mati itu sama seperti jasad yang tidak bernyawa. Jika dipukul, ditepuk dan dicubit berkali-kali pun, ia tidak akan mendatangkan kesan.
Perjalanan hidup yang diatur hanya mengikut kemahuan syahwat sendiri. Orang yang mati hatinya tidak dapat membezakan perbuatan baik dan buruk.
Bahkan, ada berbangga mereka bercerita perbuatan maksiat yang mereka lakukan seperti rogol-bunuh-bakar, berzina, menipu, rasuah dan berbuat zalim kepada orang lain.
Tidak hairanlah jika ada golongan yang sanggup membunuh sesama manusia, ayah menodai anak kandungnya sendiri, ibu mendera anak sehingga mati serta pelbagai perbuatan terkutuk lain tanpa rasa berdosa.
Daripada hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim: Ingatlah! Sesungguhnya dalam jasad (manusia) ada segumpal darah. Jika baik, baiklah seluruh jasadnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya. Ingat! Itulah hati.
Setiap dosa dan maksiat yang dilakukan maka akan tumbuh satu titik hitam dalam hati mereka.
Perkara itu jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibnu Majah).
Jelas sekali perwatakan golongan yang hati mati itu melalui sikapnya yang kejam, kasar dan tidak berperikemanusiaan.
Abdullah bin Abbas berkata: "Kebaikan itu mendatangkan sinar pada wajah, cahaya di hati, kelapangan dalam rezeki, kekuatan badan dan perasaan cinta di hati.
"Sedangkan dosa itu mendatangkan kesuraman pada wajah, kegelapan di hati, kelemahan badan, kekurangan rezeki dan kebencian di hati manusia".
Sifat pendendam antara punca kepada masalah hati. Mereka sentiasa tidak puas hati ibarat meminum air di lautan; walau banyak yang diminum, ia tetap tidak habis.
Sikap ego yang bersarang dalam hati menjadi ibu sifat mazmumah yang membuatkan seseorang tidak tenang.
Begitu juga dengan rakan atau orang di sekeliling kita. Jika kita berkawan dengan orang soleh, pasti dia membawa kita mengingati Allah manakala orang jahil kepada kesesatan.
'Kematian' hati juga boleh dilihat apabila seseorang itu sedih orang lain mengatasi kehebatannya.
Mereka akan memastikan tidak ada yang boleh lebih daripadanya. Ini menambah sifat dendam yang memalapkan cahaya imannya.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati. (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi).
Jangan menjadikan ketawa keterlaluan sebagai cara menzahirkan perasaan gembira kerana boleh membawa kepada beku dan matinya hati.
Jika hati mati, syaitan mudah membawa kita ke lembah hina.
Sementara itu, antara mazmumah utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah sifat pemarah.
Ego pula membuatkan golongan seperti ini memiliki sifat pantang dicabar. Allah mengunci mati hati dan pendengaran mereka dan penglihatan mereka ditutup.
Pemilik hati mati pasti menolak kebenaran dari Allah dan suka melakukan kezaliman terhadap sesama makhluk.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah). Mereka mempunyai mata, tetapi tidak digunakan untuk melihat (tanda kekuasaan Allah). Mereka mempunyai telinga, tetapi tidak gunakan untuk mendengar (ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah al-Araaf ayat 179).
Ketahuilah apabila hati menjadi keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan.
Perunding Motivasi dan penceramah, Mohd Zawawi Yusoh, berkata hati yang mati akan menghilangkan rasa ketuhanan dalam diri seseorang.
"Sebab itu, mereka tergamak melakukan pelbagai jenayah dan salah laku yang bertentangan dengan agama akibat hati yang tidak ada tindak balas terhadap kebaikan.
"Jika terus membiarkan diri bergelumang dengan maksiat ia akan menjadi penghalang utama amalan tidak diterima Allah," katanya.
Mohd Zawawi berkata hati juga mempunyai beberapa sifat antaranya hati keras, degil dan berat untuk melakukan amal kebaikan.
"Hati mati paling dahsyat kerana membuatkan manusia hilang sifat kemanusiaan dan belas ihsan. Tidak hairan ada sanggup merogol anak atau adik sendiri, membunuh dengan kejam atau mendera isteri dan kanak-kanak.
"Rezeki haram menyumbang 'kematian' hati. Ia juga melahirkan individu yang berpenyakit," katanya.
Beliau berkata, makanan hati adalah ilmu. Imam al-Ghazali menyatakan apabila seseorang itu tidak mendengar majlis ilmu selama tujuh hari, hatinya menjadi keras.
"Justeru, didiklah diri supaya cintakan majlis ilmu, istiqamah membaca al-Quran, mengamalkan zikir setiap solat selain berkawan dengan orang beragama yang dapat mendorong kita berada di landasan agama yang benar," katanya.
Beliau berkata, orang yang banyak dosa doa mereka tidak diterima malah akan merosakkan.
"Hati orang yang banyak dosa pasti merasa sempit selain segala masalah yang dihadapi tidak dapat diselesaikan," katanya.
Allah berfirman yang bermaksud: "Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Zumar ayat 22).
Mohd Zawawi berkata, bagi meleburkan hati yang keras, sentiasa bertaubat, bersolat lima waktu secara berjemaah dan kerap melakukan qiamulail.
"Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan," katanya.

No comments: