APA khabar anda semua. Sihat? Diharapkan semua yang membaca berada pada keadaan yang paling sihat. Tidak ada yang batuk, tiada yang sakit-sakit kaki, tak ada juga yang demam.
Hari ini saya ingin kongsikan kepada anda beberapa punca utama bagi simptom demam? Apa sebab-sebabnya ya?
Demam adalah salah satu simptom utama yang sering kita alami. Hampir setiap masa kita mendengar teman, jiran-jiran atau saudara-mara kita mengalami gejala ini. Benar bukan?
Seseorang itu boleh dikatakan mengalami gejala demam apabila suhu badannya melebihi daripada suhu normal manusia iaitu 36.5-37.5 darjah celsius. Peningkatan suhu ini adalah disebabkan oleh meningkatnya ‘regulatory set point’ di dalam sistem tubuh kita, dan ini akan turut mengakibatkan gejala lain seperti kesejukan, menggigil dan sebagainya.
Demam biasanya akan disertai dengan simptom seperti lemah-lemah badan, kurang selera makan, rasa tidak sihat, dan mudah mengantuk.
Beberapa keadaan penyakit yang disertai oleh simptom demam ialah :
- Hampir semua jangkitan pada pada manusia akan menyebabkan simptom demam. Antaranya ialah jangkitan paru-paru, jangkitan tekak, telinga, osteomyelitis, appendisitis, jangkitan kulit, jangkitan pada sistem urinari dan sebagainya.
- Penyakit autoimun juga boleh menyebabkan simptom demam seperti penyakit lupus, arthritis, dan penyakit rheumatoid.
- Kanser seperti leukemia juga biasanya akan menyebabkan demam yang juga merupakan antara simptom terawalnya.
- Kanak-kanak juga kebiasaannya akan mengalami sedikit demam pada 2 atau 3 hari selepas mendapatsuntikan imunisasi.
Beberapa kaedah awal untuk mengetahui sebab simptom demam yang anda alami adalah seperti berikut :
- Batuk-batuk, sejuk dan menggigil, hidung berair dan tersumbat : Ini merupakan simptom biasa jangkitan virus influenza selesema.
- Sakit tekak yang teramat : sakit tekak yang luar biasa dan agak merimaskan pesakit boleh disebabkan oleh tonsillitis atau jangkitan pada tekak.
- Batuk-batuk yang kerap untuk selama beberapa minggu : Bagi pesakit yang mengalami batuk-batuk untuk beberapa waktu sehingga berminggu dinasihatkan segera mendapatkan rawatan. Ini merupakan antara simptom biasa bagi jangkitan pada paru-paru atau pun saluran pernafasan.
- Sakit pada dalam telinga : Anak-anak kecil yang dilihat menyentak-nyentak telinga barangkali mengalami sakit pada dalam telinga. Dan ini mungkin juga disebabkan oleh jangkitan pada telinga.
- Pening-pening, terasa sakit dan berat di sekitar mata : Simptom ini biasanya dialami ketika pesakit tunduk atau pun bersujud di dalam sembahyang. Dan ini merupakan simptom yang kerap berlaku pada pesakit sinusitis atau pun resdung.
Justeru, sekiranya anda mula mengalami simtom-simptom tersebut, maka segeralah mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Semoga kita semua sentiasa sihat, dapat menjalani kehidupan dengan ceria dan terbuka untuk melakukan semua perkara yang bermanfaat. Salam keceriaan!
No comments:
Post a Comment